Remaja Dapat Pampasan RM150,000 Selepas Kepala Zakar Terpotong Hospital Kerajaan

Kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah pampasan yang dicadangkan oleh mahkamah.

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Seorang remaja berumur 19 tahun mendapat pampasan RM150,000 apabila beliau menyaman seorang pembantu perubatan hospital kerajaan kerana terpotong kepala zakar beliau ketika berkhatan.

Bernama melaporkan defendan pertama, pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis di Pahang, bersetuju untuk membayar RM150,000 kepada remaja tersebut.

“Jumlah pampasan itu dicadangkan oleh mahkamah ketika kedua-dua pihak berunding untuk menyelesaikan kes dan kami bersetuju dengan jumlah pampasan berkenaan,” peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar, yang mewakili remaja tersebut, dilaporkan berkata kepada pemberita selepas hadir pada prosiding kes saman tersebut di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Mohamad Zainuddin juga dilaporkan berkata rayuan anak guamannya di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 6 Ogos untuk pengurusan kes.

“Anak guam saya merayu berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan kerajaan Malaysia dan empat pihak lagi yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan untuk membatalkan saman berkenaan,” katanya. 

Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pada 20 Februari lepas permohonan kerajaan Malaysia, pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor; sebagai defendan kedua hingga keenam untuk membatalkan saman remaja tersebut.

Dalam saman yang difailkan melalui ibunya pada 19 Julai 2018, plaintif mendakwa pada 13 Disember 2010, pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis tidak mengikut prosedur ditetapkan dalam prosedur berkhatan di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis dan memotong keseluruhan kepala zakarnya ketika beliau berumur 10 tahun pada masa itu. 

Remaja juga mendakwa defendan kedua, iaitu pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, tidak memberikan rawatan dengan segera dan tidak memaklumkannya bahawa glans penis terputus, sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing terpotong.

Plaintif juga mendakwa pembedahan di Hospital Selayang dilakukan untuk menyambungkan semula kepala zakarnya dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun kepala zakar tiada lagi di batang zakar selepas hari ke-35.

Akibat kecacatan kekal itu, remaja mendakwa telah berubah menjadi seorang yang pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya. 

Plaintif juga dilaporkan membelanjakan lebih RM100,000 untuk rawatan di Hospital Selayang, perbelanjaan perjalanan, dan rundingan dengan peguam.

You may also like