Pelajar Sekolah Di Nilai Diserang Histeria

Seorang pelajar menjerit sebelum ditemui pengsan di dalam tandas.

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Seramai 20 pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka di Nilai, Negri Sembilan, diserang histeria pagi tadi.

Sinar Harian melaporkan dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, seorang pelajar dikatakan menjerit sebelum ditemui pengsan di dalam tandas.

Pelajar lain pula dilaporkan menjerit sehingga sesi sekolah terpaksa dihentikan. Keadaan kembali tenang kira-kira jam 11.40 pagi.

Seorang pelajar tingkatan tiga dilaporkan berkata kejadian histeria di sekolah itu berlaku sejak Jumaat lalu.

“Kali pertama berlaku tak adalah seramai hari ini (semalam). Saya pun tak tahu apa puncanya, tapi dengarnya ada pelajar nampak lembaga.

“Cikgu ada panggil pengamal perubatan untuk tenangkan keadaan. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak pasti,” katanya.

Pihak sekolah mengasingkan pelajar yang terlibat di surau, dengan seorang ustaz dipanggil untuk membantu pelajar terlibat.

You may also like