Kerajaan Akan Membendung Jualan Vape Kepada Murid Sekolah

Rokok elektronik dalam bentuk samaran yang berfungsi seperti jam tangan semakin popular.

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membendung jualan rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah. 

KPM berkata ia mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah.

“KPM turut mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan tentang larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan-bahan ini daripada sudut kesihatan, selain mengingatkan ibu bapa untuk memantau kegiatan anak-anak yang menjurus ke arah ini,” KPM berkata dalam satu kenyataan.

Pemangku Presiden Consumers Association of Penang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata hari Jumaat lalu bahawa rokok elektronik dalam bentuk samaran yang berfungsi seperti jam tangan semakin popular di kalangan pelajar.

“Fungsi alat ini seperti jam tangan biasa tetapi ia boleh ditanggalkan daripada tali pergelangan tangan bagi perokok untuk merokok seperti e-rokok. Ia berfungsi menggunakan bateri yang boleh dicaj semula dan perokok boleh mengisi semula dengan e-cecair pilihan mereka,” Mohideen berkata.

“Tambahan pula, ia mampu untuk dibeli dan boleh mengandungi sehingga 2 ml e-cecair bagi setiap isian semula.”

Malaysia masih tiada lagi undang-undang yang mengawal produk rokok elektronik dan vape.

You may also like