KKM Siasat Faktor Warga Asing Dalam Kes Malaria Kuala Lipis

Kes terakhir yang dilaporkan di Pos Lenjang, Kuala Lipis, adalah 8 tahun lepas.

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat jika punca jangkitan malaria di Kuala Lipis, Pahang, yang melibatkan Orang Asli ialah warga dari negara bermasalah malaria. 

Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad berkata kes terakhir yang dilaporkan di Pos Lenjang, Kuala Lipis, adalah lapan tahun lepas, iaitu pada tahun 2011.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sedang menyiasat punca jangkitan ini termasuk pergerakan manusia, termasuk warga dari negara bermasalah malaria ke kawasan ini kerana infrastruktur jalan yang bertambah baik sejak tahun 2019,” Dzulkefly berkata dalam satu kenyataan.

“Bagi penduduk di sini, kebanyakan mereka berada di kampung berkenaan dan kes-kes yang dikesan tiada sejarah pergerakan keluar dari kampung berkenaan untuk tempoh tiga bulan sebelum gejala malaria. 

“Di samping itu, kampung-kampung ini telah lapan tahun tiada sebarang kes malaria yang dikesan. Namun terdapat pergerakan manusia termasuk warga dari negara endemik yang keluar masuk ke kawasan ini,” beliau bertambah.

Orang biasanya mendapat jangkitan malaria apabila digigit oleh nyamuk Anopheles yang berjangkit. Apabila seekor nyamuk menggigit orang yang berjangkit, darah yang didapatkan mengandungi parasit malaria yang akan bercampur dengan air liur nyamuk dan disuntik kepada orang yang sedang digigit dalam makanan nyamuk selepasnya. 

Dzulkefly menjawab Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor yang berkata Menteri Kesihatan kurang prihatin isu wabak malaria yang melanda Orang Asli di Pos Lenjang, selepas 15 kes dilaporkan dari dua kampung di situ sejak 11 Julai.

“Kementerian Kesihatan sentiasa memandang serius setiap kejadian penyakit yang berlaku di kalangan komuniti termasuk kaum Orang Asli dan tindakan kawalan akan dilaksanakan dengan kadar segera,” Dzulkefly berkata.

Beliau juga menyangkal dakwaan Ramli bahawa tiada penolong pegawai perubatan ditempatkan di setiap Pos perkampungan Orang Asli sejak perubahan kerajaan kepada Pakatan Harapan tahun lalu.

Dzulkefly berkata KKM telah mengambil alih pengurusan kesihatan untuk Orang Asli daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) semenjak tahun 2012.

“Untuk makluman tiada pengurangan penempatan pegawai di penempatan Orang Asli di Pahang. Kemudahan dan bilangan pegawai telah ditambah. Jururawat Desa di Pos Lenjang telah ditambah menjadikan jumlahnya seramai dua orang.”

You may also like