Orang Asli Di Hulu Perak Dapat Saringan TB

Kanak-kanak Orang Asli turut dapat suntikan vaksin.

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan satu program saringan tibi (TB) dan pemeriksaan Orang Asli di Hulu Perak.

Program yang dianjurkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak itu melibatkan kira-kira 130 Orang Asli dari perkampungan-perkampungan di sekitar Sungai Tiang dan Sungai Kejar di Perak semalam.

“Pada program tersebut, penduduk Orang Asli yang hadir, termasuk pelajar-pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang, menjalani pemeriksaan X-ray yang dilakukan menggunakan perkhidmatan X-ray bergerak dan pemeriksaan kesihatan,” KKM berkata dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak Orang Asli di perkampungan Orang Asli Sungai Kejar turut mendapat suntikan vaksin pada hari Sabtu lalu.

Selain program saringan TB, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak, melalui Pasukan Bergerak Orang Asli, juga melakukan pemantauan kesihatan secara berkala, di mana mereka akan menjalankan pemantauan setiap dua minggu di perkampungan mereka, selain menghantar makanan melalui “Program Community Food Basket” setiap hari.

Lima belas Orang Asli kaum Bateq dari Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini meninggal dunia daripada jangkitan, dipercayai berpunca dari wabak demam campak (measles).

You may also like