Kaum Bateq Harap Air Bersih Selepas Lombong Bijih Disita

Aktiviti perlombongan bijih di Kuala Koh disita sejak 11 Jun lalu.

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, berharap agar air sungai di tempat kediaman mereka kembali bersih selepas aktiviti perlombongan di situ dihentikan.

Berita Harian melaporkan aktiviti perlombongan bijih yang beroperasi secara haram dekat Kampung Kuala Koh sejak dua tahun lalu kini telah berhenti, selepas kerajaan negeri Kelantan membuat sitaan.

“Kami rasa lega apabila perlombongan bijih itu sudah diambil perhatian dan tindakan kerajaan negeri menutupnya,” Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, memberitahu Berita Harian.

Beliau dilaporkan berkata kesan perlombongan bijih haram mampu mencemarkan air sungai dan juga memberi kesan jangkitan penyakit kepada penduduk Kampung Kuala Koh.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dilaporkan berkata aktiviti perlombongan bijih di Kuala Koh disita sejak 11 Jun lalu kerana syarikat berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Lima belas ahli kaum Bateq baru-baru ini meninggal dunia, dipercayai akibat wabak demam campak (measles).

Para doktor yang memberi mereka rawatan sebelum ini kata Orang Asli di Kuala Koh tinggal dalam keadaan yang teruk, tanpa air bersih atau makanan, dengan pelbagai masalah kesihatan.

You may also like