Pelajar Pasir Gudang Alami Simptom ‘Anxiety’

Pihak berkuasa masih belum dapat mencari punca insiden pencemaran.

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Enam pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor Baru, yang berumur antara 10 hingga 17 tahun mengalami symptom keresahan (anxiety) dalam kes kejadian sesak nafas.

Menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, tiga daripada mereka ialah pelajar yang terlibat di dalam insiden pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim pada bulan Mac lepas yang telah menjejaskan lebih daripada 6,000 residen.

“Semua enam pelajar ini akan diberikan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengetahui punca sebenar gejala anxiety tersebut,” Dzulkefly berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Enam pelajar itu adalah daripada 10 pelajar yang dirawat di wad Hospital Sultan Ismail dengan khidmat bantuan awal psikososial. Sepuluh pelajar ini datang daripada lapan buah sekolah.

Sehingga 27 Jun jam 12 tengah malam, kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang ialah 748 orang, iaitu 709 menerima rawatan pesakit luar dan 39 orang dimasukkan ke dalam wad.

“Buat masa ini, keputusan sampel klinikal pesakit bagi ujian kimia seperti hydrogen cyanide, cyanide, hydrogen thiocyanide dan volatile organic substances adalah negatif,” Dzulkefly berkata.

Berita Harian melaporkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata hari ini bahawa pihak berkuasa telah mengesan kehadiran gas methyl mercaptan, yang dianggap ganjil, dan juga gas acrylonitrile dan acrolein yang masing-masing turut dikesan dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim dahulu.

Bagaimanapun, kesan ketiga-tiga gas ini tidak dikesan dalam 10 pesakit tersebut daripada lapan sekolah yang berbeza.

Yeo juga berkata pihak berkuasa masih belum dapat mencari punca insiden pencemaran yang terkini di Pasir Gudang.

You may also like