Wabak Campak Gua Musang Merebak Ke Terengganu, Pahang

Tujuh kes demam campak disahkan di Hulu Terengganu dan empat kes di Jerantut.

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Wabak demam campak (measles) dipercayai merebak daripada komuniti Orang Asli suku Bateq dari Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan, ke perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu, Terengganu, dan Jerantut, Pahang.

Berita Harian melaporkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pihak berkuasa kesihatan telah mengesahkan 11 kes demam campak – tujuh kes di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, dan empat kes di Kampung Ulu Sat, Jerantut.

“Siasatan awal mendapati terdapat sejarah kontak atau pergerakan mereka yang disyaki dijangkiti wabak demam campak di Kampung Gerdong, dengan komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

“Penduduk Orang Asli di Kampung Ulu Sat pula memiliki sejarah pergerakan keluar masuk ke Kampung Gerdong,” Dzulkefly memberitahu pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Menteri Kesihatan juga dilaporkan berkata bedah siasat sudah selesai dilakukan atas 13 mayat yang ditemui di Kuala Koh.

“Sampel yang diperoleh daripada bedah siasat itu dihantar ke makmal untuk ujian lanjut, dan keputusan ujian berkenaan akan diperoleh dalam tempoh beberapa hari.”

Seorang budak malnutrisi dari suku Bateq meninggal dunia pada hari Isnin lalu daripada demam campak, membuatnya mangsa ke-15 yang mati daripada jangkitan. Dua lagi telah disahkan meninggal dunia daripada penyakit radang paru-paru (pneumonia). Pneumonia adalah antara komplikasi daripada demam campak.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan 37 kes demam campak setakat 15 Jun di Kuala Koh. Seramai 112 orang, atau 61 peratus daripada 185 penduduk Kuala Koh, sebelum ini dilaporkan sakit.

Liputan vaksin campak, beguk, dan rubella (MMR) di Kuala Koh didapati rendah kerana hanya setakat 61.5 peratus untuk dos pertama dan 30 peratus untuk dos kedua.

You may also like