Dr M Lawat Ainul Mardhiah

Ainul Mardhiah sudah boleh bernafas dengan sendiri.

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sempat melawat Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di London, UK, selepas pembedahan membuang tumour di mulut bayi tersebut.

Bernama melaporkan bapa bayi berumur sembilan bulan itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, berkata anaknya sudah boleh bernafas dengan sendiri tanpa bantuan alat pernafasan.

“Saya terharu dengan bayi ini. Bagaimanapun, saya gembira dengan sikap yang ditunjukkan rakyat Malaysia sehingga membolehkan Ainul Mardhiah mendapatkan rawatan di sini,” Dr Mahathir dilaporkan berkata kepada media Malaysia semalam.

Ainul Mardhiah, yang menghidapi kanser germ cell tumour, menjalani pembedahan minggu lalu untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya.

Pembedahan di sebuah hospital di London, yang dianggar boleh mencecah lebih daripada RM1 juta, dapat dilaksanakan dengan bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri yang dilaporkan berusaha mendapatkan bantuan kenalannya dari kalangan pakar perubatan di UK.

“Terima kasih kami ucapkan kepada pihak kerajaan, agensi-agensi kerajaan seperti Pusat Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan wakil rakyat yang telah membantu kami.

“Tidak tertinggal juga kepada doktor doktor yang telah merawat Ainul sebelum ini, NGO-NGO, ahli koperat, rakyat malaysia dan pihak pihak lain yang telah banyak membantu memudahkan urusan kami,” Ahmad Safiuddin berkata di Facebook.

You may also like