Tiga Mayat Orang Asli Dibawa Keluar Untuk Bedah Siasat

Seorang lagi dibawa keluar untuk dibedah siasat buat kali kedua.

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Polis membawa keluar tiga mayat Orang Asli remaja Suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, daripada lapan mayat yang ditemui untuk proses bedah siasat petang ini.

Berita Harian melaporkan seorang lagi dibawa keluar untuk dibedah siasat buat kali kedua selepas bedah siasat pertama menunjukkan Orang Asli tersebut meninggal dunia pada 6 Mei lalu daripada penyakit radang paru-paru (pneumonia).

“Berdasarkan maklumat awal, tiga mayat yang dibawa keluar itu ditemui dan ditanda pada Rabu lalu, dipercayai meninggal dunia antara 20 hingga 22 Mei lalu,” Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin dilaporkan berkata.

“Kita sudah mendapatkan kebenaran keluarga untuk membawa keluar tiga mayat daripada lapan yang ditemui itu untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Baki lima lagi mayat yang ditemui dan ditanda kelmarin (Rabu) serta semalam akan dibawa keluar secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP),” beliau memberitahu pemberita di Felda Aring 10 di Gua Musang, Kelantan, hari ini.

Identiti tiga mayat yang akan dibedah siasat dipercayai Din Hamdan, 18; Safia Papan, 18; dan Fayah Papan, 19.

Mohd Taufik bertambah operasi bagi mengesan empat lagi mayat yang sudah dikenal pasti lokasinya akan bersambung pagi esok kerana memerlukan perjalanan kira-kira lima jam menyusuri Sungai Lebir.

Empat belas Orang Asli Suku Bateq dari Kuala Koh meninggal dunia baru-baru ini daripada jangkitan yang puncanya masih belum lagi dikenalpasti.

Dua daripada 14 Orang Asli tersebut disahkan meninggal dunia dari pneumonia, dengan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata ia adalah barangkali jangkitan bahagian pernafasan viral.

Jangkitan bahagian pernafasan di Kuala Koh, yang melibatkan lebih daripada 100 penduduk di kampung Kelantan tersebut yang mempunyai 185 penduduk, masih belum dapat dipastikan.

You may also like