Kampung Orang Asli Kuala Koh Sekarang Zon Merah

Hanya pegawai agensi kerajaan khas yang terbabit dalam operasi dibenarkan masuk.

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Polis telah mengisytiharkan Kampung Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, sebagai zon merah selepas 14 orang dari suku Bateq mati dari jangkitan misteri.

Berita Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Mohd Taufik Maidin berkata sekatan jalan di Aring 10 bukan hanya untuk mengawal penduduk Orang Asli yang tinggal di kampung Kuala Koh, tetapi juga untuk menghalang kemasukan orang awam dan pegawai dari agensi yang tidak berkaitan dengan siasatan kematian.

“Hanya pegawai agensi kerajaan khas yang terbabit dalam operasi pencarian 12 kubur Orang Asli, dibenarkan masuk ke kawasan kampung terbabit, selebihnya dihalang.

“Antara agensi yang dibenarkan termasuk polis forensik serta anggota operasi bagi pencarian mayat Orang Asli yang ditanam secara adat,” beliau dilaporkan berkata.

Mohd Taufik juga berkata operasi untuk mencari kubur 12 daripada 14 Orang Asli yang dikatakan dikebumikan di hutan mengikut adat masih belum lagi bermula.

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan dilaporkan berkata keluarga mangsa telah memberitahu pihaknya yang mangsa dikebumikan di kawasan hutan yang jauh dari perkampungan mereka.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata semalam bahawa punca jangkitan dua Orang Asli yang disahkan meninggal dunia dari penyakit radang paru-paru (pneumonia) adalah barangkali jangkitan bahagian pernafasan viral.

Jangkitan bahagian pernafasan di Kampung Kuala Koh yang melibatkan 99 penduduk, lebih daripada setengah 185 penduduk di situ, masih belum dapat dipastikan.

You may also like