Ainul Mardhiah Stabil, Tapi Masih Perlu Dipantau

Doktor mahu pastikan Ainul Mardhiah benar-benar pulih sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin berada dalam keadaan stabil, tetapi bayi yang menghidap germ cell tumour masih direhatkan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya.

Bapanya, Ahmad Safiuddin, memberitahu Berita Harian bahawa anaknya yang berumur sembilan bulan memerlukan rehat sepenuhnya di hospital di London, UK, yang menjalani pembedahan tersebut semalam.

“Saya difahamkan pihak hospital akan terus memantau keadaan Ainul Mardhiah buat masa ini dan akan memakan masa yang agak panjang.

“Jadi, saya masih tidak tahu sampai bila Ainul Mardhiah dirawat kerana doktor beritahu mereka perlu pastikan dia benar-benar pulih sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” Ahmad Safiuddin, 24, dilaporkan berkata.

Ketumbuhan di mulut Ainul Mardhiah yang mencapai berat 200 gram berjaya dibuang oleh pasukan pakar bedah dan anestetik yang diterajui oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Pakar bedah latihan Dr Nur Amalina Che Bakri, yang telah menolong membawa Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ke London untuk rawatan, berkata semalam bahawa operasi selama lima jam itu mempunyai risiko tinggi, tetapi berjaya membuang ketumbuhan.

You may also like