Bedah Alih Arteri Bayi Kembar Siam Berjaya Dilakukan IJN

Bayi didiagnos menghidap Transposition of the Great Arteries.

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Institut Jantung Negara (IJN) mencatat sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan alih arteri yang pertama ke atas salah seorang bayi kembar Siam yang berjaya dipisahkan pada bulan Mac.

Ketua Jabatan Pusat Jantung Pediatrik dan Kongenital IJN, Dr Hasri Samion berkata kepada Bernama bahawa Aleesha Hana dan kembarnya Aleeya Hana dilahirkan di Sabah pada 19 Februari.

Aleesha didiagnos menghidap Transposition of the Great Arteries (TGA).

TGA ialah situasi apabila aorta bersambung ke ventrikel kanan dan arteri pulmonari bersambung ke ventrikel kiri menyebabkan darah beroksigen dan darah nyahoksigen bercampur dan dengan itu, paru-paru dan tubuh badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi.

Dr Hasri mengaku bahawa pembedahan itu mencabar kerana ia melibatkan pelbagai peringkat pembedahan dan pasukan pakar dari pelbagai lokasi bermula dengan pembedahan untuk memisahkan kembar itu yang dilakukan di Hospital Likas di Sabah.

“Kami tidak dapat melakukan pembedahan dengan segera kerana Aleesha masih bercantum dengan kembarnya. Pasukan Pediatrik Hospital Likas bersama-sama dengan pakar bedah pediatrik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudian melakukan pembedahan sebelum mereka berjaya dipisahkan,” katanya.

“Bayi itu dipindahkan ke IJN ketika berusia tiga bulan untuk pembedahan jantung sedangkan pembedahan itu boleh dilakukan ketika dia berusia satu bulan.”

Dr. Hasri berkata kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa teknologi komunikasi canggih yang membolehkan pasukan pediatrik mengenai keadaan bayi tersebut apabila dilahirkan.

You may also like