Pneumonia Penyakit Bawaan Udara, Bukan Air, Kata Kerajaan Kelantan

By CodeBlue | 10 June 2019

Punca jangkitan bahagian pernafasan di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, masih belum dapat dipastikan.

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Kerajaan Kelantan menyangkal dakwaan penyakit radang paru-paru (pneumonia) di sebuah kampung Orang Asli di Gua Musang berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Bernama melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menunjukkan pneumonia ialah penyakit bawaan udara dan bukannya air.

“Setakat ini laporan awal pneumonia ini adalah kesulitan untuk bernafas dan berkait dengan udara, tiada kaitan dengan air. Kalau kita kata penyakit (yang menular dalam kalangan Orang Asli) disebabkan aktiviti perlombongan terlalu awallah,” beliau dilaporkan berkata kepada pemberita di Kota Baru, Kelantan, hari ini.

“Kita memang memberi kerjasama penuh kepada Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) dalam semua bidang. Tapi yang kena ‘lead’ (mengetuai) tindakan ini adalah Jakoa sebab Jakoa ini ditubuhkan untuk menjaga kebajikan Orang Asli.”

Pneumonia boleh disebabkan oleh kepelbagaian bakteria, virus, dan fungi dalam udara, menurut American Lung Association.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata punca jangkitan bahagian pernafasan di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, yang melibatkan 99 penduduk dari suku Bateq masih belum dapat dipastikan.

“Bagaimanapun keputusan ujian TB dan Leptospirosis adalah negatif,” Dzulkefly berkata dalam satu kenyataan petang ini.

Beliau telah melawat suku Bateq yang tinggal di kawasan perpindahan ketiga, 2km dari penempatan asal mereka di Kampung Kuala Koh.

“Sangat insaf melihat keadaan hidup penduduk Orang Asli di situ tanpa sumber air dan elektrik, hasil maklumat daripada Tok Batin, Raina bin Anjang. Saya telah dimaklumkan bahawa perkara ini telah diambil perhatian oleh Mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi hari ini dan tindakan susulan akan diambil,” Dzulkefly berkata.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengesahkan dua kematian Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, daripada pneumonia. Kampung itu telah diletak di bawah kuarantin sejak hari ini.

Dua belas lagi kematian Orang Asli turut dilaporkan oleh penduduk Kampung Kuala Koh, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy, tetapi mereka telah dikebumikan di hutan.

Dzulkefly berkata pihak berkuasa tidak perlu gali semula kubur kerana dua bedah siasat mencukupi.

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

You may also like