Satu Kes Disyaki Rabies di Kuching

Kes terakhir disahkan rabies adalah pada 18 Januari lepas.

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan hari ini satu kes disyaki rabies di Kuching, Sarawak.

Kes tersebut melibatkan seorang lelaki berumur 26 tahun dari Kuching yang kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Beliau pernah dicakar oleh dua ekor anjing-anjing peliharaannya ketika bermain yang diterima daripada seorang kenalan. Kedua-dua anjing itu mati pada pertengahan bulan Mac selepas menunjukkan gejala hypersalivationunsteady gait dan hydrophobia.

Kes dibawa ke Hospital Umum Sarawak semalam di mana pemeriksaan mendapati beliau mengalami kekeliruan (confusion), hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota tubuh yang lemah.

“Kes kini di bawah rawatan dan pengawasan rapi di hospital tersebut. Sampel klinikal kes akan diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian rabies,” Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah kata dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga kini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah 17 orang termasuk 16 kematian. Kes terakhir disahkan rabies adalah pada 18 Januari lepas.

“Memandangkan negeri Sarawak belum bebas daripada risiko jangkitan rabies, KKM ingin menegaskan supaya orang ramai tidak mengambil anjing yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara. Sila pastikan haiwan peliharaan diberi vaksin anti-rabies; dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar,” Dr Noor Hisham kata.

You may also like