Linda Rafar Tuntut Pampasan RM5.5 Juta

Linda Rafar menuntut pampasan daripada Dr Rusyainie Ramli dan tiga pengguna Facebook, termasuk PW Community.

KUALA LUMPUR, 29 Mei — Selebriti Linda Rafar menuntut pampasan sebanyak RM5.5 juta daripada seorang doktor bernama Dr Rusyainie Ramli dan tiga lagi pengguna Facebook kerana dituduh memfitnahnya dalam kontroversi berhubung layanan seorang jururawat.

Peguam Linda berkata dalam satu kenyataan bahawa kliennya telah menghantar lima pucuk surat tuntutan kepada Dr Rusyainie menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan sebanyak RM4 juta kerana menerbit lima posting berbaur fitnah dan “komen-komen melampau” di media sosial.

Linda juga menghantar tiga pucuk surat tuntutan yang serupa kepada tiga lagi pengguna Facebook, termasuk PW Community, menuntut pampasan sebanyak RM1.5 juta.

“Persepsi negatif oleh masyarakat terhadap Linda Rafar kini bertambah selepas fitnah tersebut walaupun informasi yang telah disebarkan adalah tidak benar. Ini adalah perkembangan yang membimbangkan kerana orang ramai mempercayai apa yang ditulis dan diterbitkan melalui laman sosial tersebut.

“Beliau telah dipaparkan sebagai seorang tokoh masyarakat yang mempunyai moral yang buruk, manipulatif, penipu dan seorang selebriti yang mempunyai niat buruk kepada semua jururarawat di negara ini,” berkata peguam Linda.

Linda, pelakon dan anggota kumpulan Elite, memohon maaf di Instagram pada 9 Mei dalam isu pertelingkahan dengan seorang jururawat yang beliau tuduh tidak membantu menukar cadar mendiang ibunya yang terkena najis di sebuah hospital di Shah Alam.

Malaysiakini melaporkan bahawa artis tersebut dipercayai membuat permohonan maaf kepada jururawat tersebut. NGO Delegation of Nurses berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan di luar mahkamah.

You may also like