NGO Dilabel ‘Yahudi’ Bila Bongkar Ubat Palsu

Penggunaan ubat palsu boleh menyebabkan keracunan dan kerosakan pelbagai organ badan.

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Sebuah NGO kesihatan berkata mereka kerap diserang apabila mereka mendedahkan ubat-ubatan tiruan dan tidak berdaftar.

Medical Mythbusters Malaysia (M3) pengerusi dan pengasas Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris memberitahu Sinar Harian bahawa peniaga merasakan pendedahan M3 bertujuan menutup periuk nasi mereka.

“Yahudi. Munafik. Syirik. Cakap sahaja apa jenis cacian dan makian, kami sudah lali mendengarnya namun ada juga insiden kami terpaksa membuat laporan polis kerana risau keselamatan nyawa ahli kami,” Dr Ahmad Firdaus dilaporkan berkata.

“Perniagaan yang baik adalah perniagaan yang memberi manfaat kepada pengguna dan tidak bersifat memberi janji-janji palsu. Ada pelbagai perniagaan yang menjaga etika dan syarikat sedemikian mampu menjana keuntungan lumayan,” katanya.

M3 ialah sebuah NGO yang dianggotai pekerja kesihatan seperti doktor, jururawat, para farmasi, doktor gigi, ahli diet, dan penolong pegawai perubatan.

Pegawai perubatan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini pula berkata ubatan palsu dijual secara berleluasa di Malaysia kerana pengiklanan dan perjualan di media sosial.

“Cara terbaik untuk menangani isu ini melalui pemeriksaan dan penguatkuasaan lebih ketat yang perlu dibuat terutamanya di sempadan dan pintu Imigresen.

“Pihak berkuasa diharap merancakkan serbuan ke tempat penghasilan ubat ini selain mengesannya dalam pasaran,” beliau dilaporkan berkata kepada Sinar Harian.

Dr Ahmad Faidhi berkata bahawa penggunaan ubat palsu boleh menyebabkan keracunan dan kerosakan pelbagai organ badan.

Lelaki akan disasarkan dengan ubat kuat, manakala wanita akan disasarkan dengan produk kecantikan.

Status pendaftaran produk boleh disemak melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

You may also like