Prosedur Pembesaran Zakar Usaha Sia-Sia

Kurang daripada 20% kepuasan dilaporkan untuk prosedur pembesaran zakar.

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Prosedur untuk pembesaran zakar tidak berkesan dan memberi kesan buruk kepada lelaki secara fizikal atau psikologi, satu kajian berkata.

Menurut pendedahan sebuah kajian sepertimana yang dilaporkan oleh The Guardian, pakar kesihatan mengatakan prosedur tersebut adalah mustahil dan ini hanya satu taktik eksploitasi kapitalis perubatan terhadap golongan lelaki.

Sehingga kini, terdapat kurang bukti secara saintifik dan klinikal, prosedur pembesaran zakar yang benar-benar berkesan sepertimana tinjauan oleh pakar-pakar kesihatan reproduktif British.

Prosedur atau rawatan ini mempunyai risiko komplikasi yang tinggi, termasuk rasa kebas yang kekal, berdasarkan kesimpulan kajian menerusi bukti sedia ada.

Manakala, ramai lelaki yang menjalani prosedur pembesaran atau pemanjangan zakar tidak berpuas hati dengan hasilnya.

“Kajian mendapati hasil rawatan keseluruhan adalah tidak memberangsangkan, dengan kadar kepuasan rendah selain mendatangkan komplikasi signifikan kepada pesakit seperti kecacatan dan pemendekan zakar, serta mati pucuk,” menurut jurnal Kajian Perubatan Seksual yang melaporkan analisis oleh Gordon Muir, ahli urologi di hospital King’s College di London.

Selain itu, penyelidik di Institut Psikiatri, Psikologi dan Neurosains di King’s College turut sama menyumbang dalam jurnal tersebut.

“Prosedur yang mustahil dilakukan dan mahal sehingga menelan kos 30 hingga 40 ribu pound sterling itu selalunya berakhir dengan kecacatan zakar dan kurang daripada 20 peratus kepuasan dilaporkan untuk prosedur tersebut,” tegas Muir lagi.

Jurnal tersebut ditulis berdasarkan 17 kajian yang menilai 21 jenis prosedur — pembedahan dan bukan pembedahan yang dilakukan ke atas 1,192 lelaki, di Britain dan di luar negara.

Jurnal tersebut menyatakan terdapat dua kaedah yang sering dilakukan adalah suntikan pengisi dermis ke dalam zakar dan sejenis pembedahan yang dipanggil ‘incision ligamentum suspensory’— di mana pakar bedah membuat potongan ke atas zakar dan membahagikan ligamen yang memegang bahagian zakar.

“Ramai lelaki yang menjalani prosedur tersebut mempunyai saiz zakar normal, namun mereka kurang berkeyakinan dengan saiz mereka dan menggangapnya terlalu kecil,” tambah Muir lagi.

Kebanyakan prosedur sedemikian dijalankan oleh penyedia kesihatan swasta. Kemudahan perubatan awam di Britain hanya melakukannya untuk alasan klinikal dan bukan kosmetik, seperti membaiki badan yang terjejas akibat kecelakaan.

You may also like