Klinik Hulu Bernam Ditutup Akibat ‘Makhluk Halus Perempuan Tua’

Jururawat masyarakat trauma disebabkan oleh lembaga hitam dan jelmaan seorang perempuan tua.

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Klinik Desa Gesir Tengah di Hulu Bernam ditutup sementara sejak seminggu lalu akibat gara-gara gangguan “makhluk halus”.

Sinar Harian melaporkan seorang jururawat masyarakat yang bertugas di klinik tersebut di Selangor trauma disebabkan oleh lembaga hitam dan jelmaan seorang perempuan tua yang dikatakan menghantui klinik itu sejak tahun 2007 dan acap kali tahun ini.

Jururawat itu juga dilaporkan jumpa beras berwarna kuning di dalam klinik dan tandas pada hampir setiap pagi dan kewujudan satu patung hitam di bumbung klinik.

“Jelmaan makhluk” itu dilaporkan turut disaksikan oleh seorang pesakit yang datang dengan tiga anak.

Anak sulung dikatakan nampak seorang perempuan tua dengan rambut dan kuku panjang mengusap-usap rambut seorang lagi adiknya berusia tiga tahun. Gangguan bunyi pelik dan bau aneh juga dilaporkan di klinik tersebut.

Pengerusi Majlis Pengurusan dan Komuniti Kampung (MPKK) Gesir Tengah, Wan Khairul Azzuwan Wan Hamat berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian aneh di klinik berkenaan.

“Klinik ini dibina sejak lebih 20 tahun lalu dan ia masih diperlukan maka kami mencadangkan agar operasi klinik berpindah menggunakan bangunan balai raya.

“Atau pun klinik ini dinaik taraf sebagai pusat hemodialisis dan sudah pasti klinik akan didatangi lebih ramai pesakit,” katanya.

You may also like