Tak Selamat Buang Bayi Di Masjid

Masjid dan surau tidak ada pengawasan manusia 24 jam.

KUALA LUMPUR, 25 April — Membuang bayi di masjid ialah tindakan yang merbahaya, OrphanCare berkata.

OrphanCare, yang menyediakan tempat perlindungan bayi (Baby Hatch), beritahu Sinar Harian bahawa masjid dan surau tidak ada pengawasan manusia 24 jam.

“Masjid dan surau bukan satu tempat yang digazetkan sebagai tempat selamat, oleh itu ia dalam kategori jenayah apabila seseorang meletakkan bayi di situ,” OrphanCare dilaporkan berkata.

OrphanCare berkata cadangan untuk mewujudkan Baby Hatch di masjid perlu melalui beberapa pertimbangan terlebih dahulu.

“Mungkin ahli jawatankuasa masjid perlu menggaji seseorang penjaga yang tinggal (stand-by) 24 jam di masjid untuk mengambil bayi sebaik sahaja ia diletakkan di dalam Baby Hatch.

“Setiap kes penemuan bayi di mana sahaja perlu mengikut akta kanak-kanak iaitu yang pertama perlu membuat laporan polis. Kedua, bayi perlu dimasukkan ke hospital kerajaan yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut dan ketiga, memaklumkan kepada pegawai pelindung di pejabat kebajikan masyarakat daerah. Semua ini harus dilakukan dalam masa 24 jam.”

Media melaporkan bahawa tren kes pembuangan bayi sudah tidak lagi mengikut musim, atau waktu tertentu.

Kalau dahulunya sembilan bulan selepas tahun baharu, Hari Merdeka, atau perayaan-perayaan besar yang lain, kini ia berlaku sepanjang tahun.

You may also like