Kadar Kematian Tibi Di Malaysia Meningkat

Kadar kematian Tibi meningkat ke 6.6 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2018 daripada kadar kematian 6.5 pada tahun 2017.

KUALA LUMPUR, 22 April — Kadar kematian Tibi di Malaysia meningkat ke 6.6 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2018 daripada kadar kematian 6.5 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017.

Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad juga berkata bahawa jumlah kes Tibi yang dilaporkan pada tahun 2018 telah menurun 1.3 peratus ke 25,837 kes daripada 26,168 kes pada tahun 2017.

“Analisa kematian menunjukkan hampir 30 peratus hingga 40 peratus kematian adalah disebabkan secara langsung akibat penyakit Tibi,” Dzulkefly berkata di majlis perasmian sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia di Melaka hari ini.

“Kementerian Kesihatan maklum akan peningkatan data kematian ini dan segala usaha sedang dijalankan bagi pengesanan awal penyakit Tibi. Saya mohon supaya individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit Tibi untuk segera dapatkan rawatan bagi mengelakkan komplikasi kematian.”

Beliau juga berkata golongan Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak adalah lebih berisiko untuk dijangki kusta berbanding lain-lain kaum, dengan masing-masing berkadar 8.4 kes setiap 100,000 penduduk Orang Asli dan 1.2 kes setiap 100,000 penduduk pribumi Sabah dan Sarawak.

Manakala kadar insiden kusta dalam kalangan warga asing adalah 2.1 kes setiap 100,000 penduduk warga asing.

Sebanyak 206 kes kusta dilaporkan di Malaysia pada tahun 2018, dengan 34 peratus warga asing, 19 peratus pribumi Sabah dan Sarawak, 7 peratus dalam kalangan Orang Asli, dan 40 peratus terdiri daripada lain-lain kaum, menurut Dzulkefly.

“Strategi kawalan kusta lebih fokus kepada lokaliti endemik yang masih dibebani kusta. Mereka yang dibawah golongan berisiko iaitu Pribumi, Orang Asli, warga asing dan kontak dalam kalangan kanak-kanak turut menjadi tumpuan utama di dalam melaksanakan aktiviti saringan kulit di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berkaitan,” kata Dzulkefly.

You may also like