Lebih 4,000 Graduan Perubatan Masih Tiada Tempat Untuk Latihan

Hanya seramai 67.1 peratus pegawai perubatan siswazah sahaja yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun.

KUALA LUMPUR, 11 April — Seramai 4,431 graduan perubatan masih belum mendapat tempat untuk menjalani latihan siswazah setakat bulan Februari lepas sejak graduasi Julai 2018, Menteri Kesihatan berkata.

Dzulkefly Ahmad memberitahu Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya dalam jawapan parlimen bahawa terdapat peningkatan keluaran graduan perubatan dari dalam dan luar negara yang dianggarkan sebanyak 5,000 hingga 6,000 orang setahun, manakala slot latihan siswazah semasa di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sebanyak 11,913 slot.

“Sehingga Februari 2019, seramai 4,431 graduan perubatan (keluaran Julai 2018 ke atas) yang masih belum mendapat tempat untuk menjalani latihan siswazah.

“KKM akan melantik 1,236 graduan perubatan sebagai PPS (pegawai perubatan siswazah) pada April 2019 dan bakinya sebanyak 3,195 akan dilantik secara berperingkat pada tahun ini,” Dzulkefly berkata.

Menurut Menteri Kesihatan, hanya seramai 67.1 peratus PPS sahaja yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun, manakala hampir satu pertiga, atau 32.9 peratus, PPS lagi mengambil masa yang lebih lama.

Ini mengakibatkan backlog kerana slot-slot latihan sedia ada mengambil masa yang lebih lama untuk dikosongkan.

Dzulkefly berkata KKM telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memendekkan tempoh masa menunggu untuk latihan siswazah, seperti melantik graduan perubatan secara kontrak mulai Disember 2016.

“Sehubungan dengan ini penempatan boleh dibuat tidak bergantung kepada perjawatan dan hanya bergantung kepada slot,” beliau berkata.

KKM juga meningkatkan bilangan Hospital Latihan Siswazah dan melanjutkan pelaksanaan moratorium bagi Penawaran Kursus Baru Bidang Perubatan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara selama lima tahun sehingga 2021.

KKM turut meningkatkan perkhidmatan kepakaran di hospital sedia ada melalui penempatan pakar-pakar baru dan sedia ada di KKM bagi membolehkan mereka bertindak sebagai penyelia kepada PPS.

You may also like