Menteri: Sukar Dapat Anak Sebab Wanita Gemuk, Kekurangan Lelaki

Kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan memberi pelepasan cukai untuk perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

KUALA LUMPUR, 9 April — Wanita yang gemuk dan kekurangan kepada lelaki menjadi antara punca pasangan susah memperoleh zuriat, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata.

Utusan Online melaporkan ketika Dzulkefly menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut berkata faktor pemakanan ialah satu lagi faktor pasangan suami isteri sukar mendapat anak.

“Mutakhir akhir zaman ini, kesuburan selain lelaki dan wanita antara lain telah saya bayangkan barang kali kegemukan isteri dan kekurangan suami . Kedua-duanya dikenal pasti punya kelemahan.

“Dan sama ada ia berbentuk immunologikal, hormon atau struktural atau apa pun sebabnya termasuk tiub falopio tersumbat dan sebagainya. Saya yakin juga daripada pemakanan adalah sangat mustahak,” Dzulkefly dilaporkan berkata.

Bernama melaporkan Dzulkefly berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan memberi pelepasan cukai untuk perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

“Ia merupakan cadangan yang baik, mungkin saya boleh angkat agenda ini untuk dipertimbangkan kerana bagi sebuah rumah tangga untuk mendapatkan zuriat adalah hampir segala-galanya,” Dzulkefly dilaporkan berkata di Dewan Rakyat.

Beliau turut berkata kos satu kitar IVF atau suntikan intrasitoplasmik sperma di hospital kerajaan adalah sekitar RM4,500 hingga RM5,000. Kos ini tidak termasuk ubat.

Dzulkefly bertambah, sebanyak 976 orang menjalani rawatan IVF di hospital kerajaan pada tahun 2018, dengan 189 wanita berjaya hamil.

Menteri Kesihatan berkata di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, hari Ahad lepas bahawa kos perkhidmatan IVF yang melalui program subsidi kerajaan adalah hanya sekitar 25 peratus ke 30 peratus daripada kos di sektor swasta.

“Sehingga hari ini, terdapat 52 pusat Perkhidmatan Reproduktif dan Tabung Uji (atau IVF) di sektor swasta dan empat di hospital-hospital KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang memberi perkhidmatan berasaskan zon iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas (Sabah), Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu).

“Dijangkakan bahawa dalam masa terdekat ini, satu lagi pusat yang baru akan beroperasi di Hospital  Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak,” beliau berkata di perasmian sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan unit perubatan reproduktif dan tabung uji Hospital Sultanah Bahiyah.

You may also like