KKM Rampas Ubat Kuat ‘Candy B+ Complex’

Candy B+ Complex mengandungi Tadalafil yang digunakan untuk merawat “erectile dysfunction”.

KUALA LUMPUR, 4 April —  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merampas produk perangsang seks tidak berdaftar “Candy B+ Complex” yang dijual melalui internet.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil rampasan dari serbuan “Ops Candy” oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM pada 26 Mac adalah dianggarkan bernilai RM1.129 juta.

“Kementerian ini ingin memberi amaran tegas kepada sesiapa yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta kerana penggunaan produk ini boleh membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan,” Dr Noor Hisham berkata dalam kenyataan semalam.

Hasil analisa menunjukkan produk Candy B+ Complex mengandungi racun berjadual, iaitu Tadalafil yang digunakan untuk merawat “erectile dysfunction” (mati pucuk).

“Penggunaan ubat ini memerlukan pengawasan yang teliti daripada pengamal perubatan yang berdaftar dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang awam,” kata Dr Noor Hisham.

KKM menasihati orang ramai untuk menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my.

Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi “NPRA Product Status” daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.

You may also like