Jururawat Boleh Jadi Saksi Di Inkues Adib

Seorang jururawat mendakwa di Facebook bahawa Muhammad Adib sebenarnya cedera akibat keganasan, tetapi kemudian meminta maaf dan menarik balik kenyataannya.

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Mana-mana pakar perubatan, termasuk jururawat, dibenarkan tampil memberi keterangan dalam prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata.

Sinar Harian melaporkan Dr Boon Chye berkata mereka boleh berbuat demikian sekiranya terlibat dalam penjagaan Allahyarham.

“Oleh kerana prosiding inkues ini sedang berlangsung, ada baiknya sesiapa yang punya maklumat tampil ke hadapan, salurkan informasi berhubung kes ini melalui saluran yang betul supaya maklumat itu dapat dinilai kesahihannya,” Dr Boon Chye dilaporkan memberitahu pemberita semalam di Ipoh.

Seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis di Facebook bahawa kononnya pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, tidak memberi keterangan tepat berhubungan kematian Muhammad Adib.

Dr Ahmad Hafizam berkata bahawa kecederaan anggota bomba tersebut tidak padan dengan corak kecederaan pada bahagian toraks akibat ditendang, tumbukan, atau dipukul dengan objek tumpul.

Seorang jururawat kemudiannya mendakwa di laman Facebook bahawa Muhammad Adib sebenarnya cedera akibat keganasan kerana terdapat kesan lebam di seluruh badannya.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya dilaporkan meminta maaf dan manarik balik kenyataannya.

Dr Boon Chye berkata jururawat tersebut boleh tampil memberikan maklumat.

You may also like