Gabenor Sengaja Dedahkan Anak-anaknya Kepada Cacar Air

Tindakan sengaja jangkiti anak-anak dengan penyakit daripada kena vaksin.

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Awal minggu ini, Gabenor Kentucky di Amerika Syarikat, Matt Bevin mengatakan bahawa beliau telah sengaja mendedahkan sembilan orang anaknya kepada penyakit cacar air (chicken pox) untuk mengelak daripada divaksin. Ini adalah berikutan wabak penyakit tersebut yang kini merebak di sebuah sekolah di bahagian utara negeri tersebut.

“Semuanya telah mendapat cacar air,” Bevin berkata kepada stesen radio Bowling Green WKCT. “Mereka sengaja dijangkiti penyakit tersebut kerana kami mendapat tahu salah seorang daripada jiran meghidapinya. Saya terus pastikan kesemua anak saya didedahkan dan dijangkiti. Mereka kanak-kanak. Untuk beberapa hari memanglah mereka semua murung dan tidak bersemangat, tetapi lepas itu semuanya ok sahaja.”

Bevin menyatakan beliau tidak mempercayai bahawa pengambilan vaksin perlu diwajibkan oleh kerajaan.

“Sekiranya anda bimbang mengenai anak anda mendapat cacar air atau penyakit lain, pergilah ambil vaksin,” beliau berkata. “Tetapi untuk sesetengah orang, dan ibubapa, mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Ini Amerika. Kerajaan persekutuan tidak sepatutnya mewajibkan tindakan ini keatas masyarakat ramai.”

Walaubagaimanapun, pakar kesihatan menegaskan bahawa tindakan Bevin adalah tidak selamat sama sekali.

“Kita tidak lagi hidup di zaman abad ke-17,” berkata Dr. Robert Jacobson, seorang doktor pediatrik dan pakar vaksin dan penyakit kanak-kanak di Klinik Mayo di Minnesota, kepada Louisville Courier-Journal. “Saya sangat menyarankan kepada para ibubapa agar mengvaksinkan anak-anak mereka, mengikut tempoh yang sepatutnya. Ianya adalah tindakan yang betul dan terbaik bagi anak-anak mereka.”

CREDIT: Centre for Disease Control, United States

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) membantah sekerasnya tindakan sengaja mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit berjangkit. Ini termasuklah menganjurkan pesta cacar air.

“Penyakit cacar air adalah sangat serius dan boleh menyebabkan komplikasi yang serious dan mengakibatkan kematian, termasuklah kepada kanak-kanak yang sihat,” mengikut laman internet CDC.

You may also like