Hasil Cukai Gula Untuk Program Kesihatan Sekolah

Cukai gula bantu program makanan berkhasiat bagi kanak-kanak sekolah rendah.

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi akaun Twitter beliau, menegaskan pendapatan daripada cukai gula atau ‘sugar tax’ akan digunakan bagi mengukuh kesihatan kanak-kanak sekolah.

Beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan menggunakan hasil kutipan cukai eksais yang dikenakan sebanyak 40 sen seliter bagi minuman manis yg melebihi 5gm gula setiap 100ml, bagi implementasi “Program Sarapan Berkhasiat & Percuma kpd Semua Kanak2 Sekolah Rendah”.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau di persidangan Invest Malaysia 2019 baru-baru ini, mengatakan hasil cukai tersebut akan digunakan untuk memberi sarapan pagi berkhasiat bagi kanak-kanak sekolah rendah. Tempoh perlaksanaan cukai tersebut ditangguhkan ke 1hb Julai.

Galen Centre for Health & Social Policy dalam reaksinya terhadap pengumuman Tun Dr. Mahathir telah menyarankan agar hasil kutipan cukai gula digunakan bagi mengukuhkan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS).

Program yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan ini, telah berlangsung sejak 2007. Dijalankan di lebih daripada tiga puluh sekolah, ianya telah berjaya menyediakan makanan berkhasiat bagi kanak-kanak sekolah rendah dengan kos rendah.

You may also like