Skim Kesihatan Untuk B40 MySalam Harus Dikaji Semula – Dr Michael Jeyakumar

Kepada
YAB Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia

20HB MAC,2019

YAB Tun,

SKIM KESIHATAN UTK B40 MySalam harus dikaji semula, jangan serahkan kepada syarikat insurance

Kami, kumpulan dan individu yang menandatangani surat rayuan ini, amat tidak selesa dengan skim MySalam yang telah dilancar oleh Kerajaan Malaysia baru-baru ini. Daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan dan Menteri Kesihatan, kami dapat memahami bahawa skim MySalam mengandungi dua komponen

Komponen I: Bayaran RM 8000 sekali gus kepada individu-individu dalam golongan B40 yang berumur 18 hingga 55 tahun sekiranya mereka mengidap 36 jenis penyakit;

Komponen II: Bayaran RM 50 sehari untuk kemasukan ke Hospital Kerajaan untuk kumpulan yang sama dengan had maksima 14 hari setiap tahun.

Kami juga difahamkan bahawa Syarikat Insurans Great Insurance akan dibayar RM 400 juta setahun untuk jangka masa 5 tahun untuk membekalkan perlindungan ini kepada kumpulan sasaran dalam golongan B40. Ikut kenyataan Menteri Kewangan bayaran ini adalah daripada dana RM 2 bilion yang telahpun dibayar oleh Syarikat Great Eastern kepada Kerajaan Malaysia supaya dikecualikan syarat menjual 30% daripada sahamnya kepada institusi Malaysia seperti KWSP dan PNB.

Kami terima baik hasrat kerajaan menhulurkan bantuan kepada rakyat B40 dalam keadaan belanjawan negara dibebani oleh hutang daripada pentadbiran sebelum ini. Tetapi beberapa perkara dalam skim ini menimbulkan kedugaan dan kerisauan dipihak kami. Satu antara perkara ini adalah hakikat bahawa pihak kerajaan belum lagi melaksanakan satu penilaian aktuarial terhadap pakej yang ditawarkan oleh Great Eastern. Oleh itu ada kemungkinan besar klausa-klausa pengecualian (exclusion clauses) yang berada dalam skim MySalam ini akan membolehkan syarikat Great Eastern mengelak daripada membayar ramai pesakit dengan 36 penyakit-penyakit yang disenaraikan. Selain daripada pengecualian membayar untuk pesakit yang berumur lebih daripada 55 tahun dan pesakit yang didiagnosed sebelum 1/1/2019, untuk beberapa jenis penyakit ada juga pengecualian bahawa pampasan hanya bayar apabila penyakit itu sampai ke takat pesakit tidak boleh melakukan ADL (activiti harian).

Oleh kerana syarat-syarat pengecualian ini, mustahil seorang pun pesakit dengan Parkinsons Disease (#30) akan menerima RM 8000 dalam jangka masa 5 tahun yang akan datang. Kerana Parkinsons biasanya berlaku di kalangan yang mereka yang berusia lebih daripada 70 tahun, dan ambil masa 10 tahun ke atas untuk sampai tahap yang menghalang ADL. Kes pesakit Parkinsons yang menghadapi masalah melaksanakan ADL sudah tentu telah didiagnosed 10 tahun sebelum ini dan oleh itu dikecualikan. Kes baru Parkinsons yang didiagnosed selepas 1/1/2019 tidak akan sampai ke tahap di mana mereka tidak dapat melakukan ADL dalam jangka masa 5 tahun. Syarat ADL ini juga akan mengecualikan ramai pesakit dengan meningitis (#3), encephalitis (#13) dan head injury (#24) daripada mengutung daripada skim MySalam.

Selain daripada syarat ADL juga ada syarat “permanency” ataupun kehilangan upaya kekal untuk penyakit meningitis, encephalitis dan head injury. Adakah kemungkinan bahawa syarikat Great Eastern akan menolak tuntutan pesakit penyakit-penyakit ini yang memang mengalami kesusahan dengan ADL dengan alasan “permanency” belum ditentukan?

Ada juga syarat pengecualian yang tidak dinyatakan dengan jelas – serangan jantung (18), kelemahan jantung ataupun cardiomyopathy (#8) dan barah (#7) hanya layak merima bayaran RM 8 ribu jika sakit mereka cukup teruk – “of a specified severity”! Adakah kerajaan Malaysia tahu mengenai tahap keterukan (severity) penyakit-penyakit ini yang ditetapkan sebagai kelayakan menerima bantuan RM 8000? Ataupun adakah Menteri Kewangan percaya sahja keikhlasan syarikat Great Eastern tanpa melakukan kajian terperinci terhadap kuantum bantuan yang akan diterima oleh golongan B40 melalui skim MySalam ini?

Kami rasa adalah amat perlu skim MySalam ini ditangguh sementara supaya satu kajian aktuarial boleh dijalankan untuk dapat anggaran terhadap kuantum bayaran yang dijangka dalam satu tahun mengikut skim MySalam selepas semua syarat-syarat pengecualiannya diambil kira. Jika kuantum ini jauh kurang daripada RM400 juta yang kena dibayar oleh kerajaan untuk perlindungan skim ini, kita harus membatalkan skim MySalam dan mencari kaedah lain untuk memakai bayaran pampasan RM 2 bilion bagi kebajikan golongan B40. Satu antara kaedah yang boleh dipertimbangkan adalah untuk memakai amaun ini untuk membantu pesakit daripada golongan B40 membayar untuk alat dan perkakas yang sekarang kena dibeli oleh pesakit hospital kerajaan seperti plate besi dan skrew untuk pembedahan otopedik, lens mata untuk pembedahan selaput mata (catarract), drug eluting stent untuk prosedur angioplasty dan sebagainya. Ini merupakan satu beban besar pada pesakit daripada golongan B40, dan bantuan membeli alat-alat ini akan amat meringankan beban finans mereka.

Kami berharap YAB Perdana Menteri boleh mencampur tangan dalam perkara ini untuk memastikan RM 2 bilion daripada Syarikat Great Eastern diguna secara yang terbaik untuk rakyat B40.

Terima kasih. Dr Jeyakumar Devaraj

Dr Jeyakumar Devaraj adalah bekas Ahli Parlimen Sungai Siput.

You may also like