Risiko Jerebu Akibat Kenaikan Pembakaran Terbuka

Ketua Pengarah JBPM Mohamad Hamdan Wahid berkata JBPM menerima 3,054 kes pembakaran terbuka pada bulan lepas, berbanding 1,936 kes pada bulan Januari.

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Malaysia menghadapi risiko jerebu akibat kenaikan kes pembakaran terbuka di seluruh negara pada musim panas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata hari ini.

Menurut Berita Harian, Ketua Pengarah JBPM Mohamad Hamdan Wahid berkata JBPM menerima 3,054 kes pembakaran terbuka pada bulan lepas, berbanding 1,936 kes pada bulan Januari.

“Peningkatan mendadak ini amat membimbangkan kerana kita tidak mahu negara dilanda masalah jerebu sekali lagi,” beliau beritahu sidang media di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

“Kalau kita tidak kawal pembakaran terbuka ini daripada sekarang, tidak mustahil boleh berlaku masalah jerebu yang teruk seperti pada tahun 1997 dan 2015 lalu.”

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan fenomena cuaca panas di seluruh negara dijangka berlanjutan sehingga akhir bulan ini, dengan suhu meningkat 0.5 hingga 1 darjah Celsius.

You may also like