Kanak-kanak Lelaki Meninggal Akibat Difteria

18 kes difteria bersama lima kematian telah dilaporkan di Malaysia pada 2018.

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah meninggal dunia akibat difteria. Ini merupakan kes pertama tahun ini melibatkan penyakit yang boleh dicegah tersebut.

Kementerian Kesihatan berkata kanak-kanak tersebut meninggal di Johor Baru pada hari Khamis lalu selepas mengalami komplikasi akibat demam, batuk dan pembengkakan tonsil.

“Vaksinasi terhadap difteria boleh mencegah jangkitan. Sekiranya seseorang telah dijangkiti, simptomnya adalah lebih ringan dan tidak adanya komplikasi, ” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan beliau hari ini.

Mengikut kementerian, 18 kes difteria bersama lima kematian telah dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu. Empat daripada lima mangsa, merupakan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun yang tidak diimunisasi.

Difteria merupakan jangkitan bakteria yang mengakibatkan kesukaran bernafas disebabkan ketumbuhan membran pada tekak atau dalam rongga hidung, Komplikasi akibat jangkitan ini termasuk jangkitan peparu, kerosakan pada otot jantung dan saraf. Ia boleh menyebabkan kematian.

Dr Noor Hisham menggesa ibubapa supaya berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang dapat dicegah melalui vaksinasi, termasuklan difteria, demam campak dan batuk kokol.

You may also like